GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Hanya pelawat yang sudah menerima lengkap vaksin sahaja dibenarkan masuk ke Sabah tanpa menjalani ujian saringan Covid-19.

Bagaimanapun, individu berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksin, belum lengkap divaksin atau belum menerima vaksin bagi yang layak perlu melakukan ujian saringan Covid-19 dan menunjukkan slip keputusan ujian negatif di pintu masuk Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, itu prosedur operasi standard (SOP) terkini selepas kerajaan negeri membenarkan kemasukan pelawat ke negeri itu tanpa perlu menjalani ujian saringan Covid-19 berkuat kuasa 1 Disember ini.

"Bagi remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang masuk ke Sabah haruslah sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah ditemani ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap divaksin.

"Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan perlu mengemukakan laporan perubatan yang sudah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar," katanya dalam kenyataan media di sini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, bagi pengembara domestik yang sudah menerima vaksin lengkap hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan bukti status sudah lengkap divaksin semasa penilaian risiko di pintu masuk Sabah.

"Namun sekiranya bergejala, individu terbabit akan diarahkan untuk menjalani saringan ujian Covid-19 dan diberikan arahan arahan pemantauan di rumah (HSO) sehingga keputusan dikeluarkan.

"Jika keputusan negatif akan diberi pelepasan HSO namun jika keputusan positif, individu terbabit akan diuruskan seperti pengurusan kes positif Covid-19," katanya.

Masidi berkata, bagi individu yang belum divaksin atau belum menerima vaksin lengkap tertakluk dengan SOP sedia ada iaitu membuat ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memasuki Sabah dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

Bagi pengembara antarabangsa, beliau berkata, individu lengkap vaksin diarahkan menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ke lima tempoh kuarantin.

"Pengembara antarabangsa yang belum menerima vaksin lengkap diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ketujuh tempoh kuarantin.

"Mereka diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR semasa ketibaan dan mendapat kelulusan HSO daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Namun bagi yang tidak mendapat kelulusan HSO KKM, pengembara boleh meneruskan perjalanan ke Sabah dan dikuarantin di pusat kuarantin hotel (yang diwartakan) atau pusat kuarantin Institut Latihan Awam (ILA) yang disediakan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:29 AM