DR Adham (gambar fail). FOTO NSTP
DR Adham (gambar fail). FOTO NSTP
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Semua menteri Kabinet disahkan perlu menjalani ujian Covid-19 ketika ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika mengesahkan perkara itu berkata, penilaian risiko juga akan dibuat terhadap setiap menteri terbabit untuk mengetahui hari dan masa sebelum seseorang itu boleh menjangkiti.

"Dalam kes menteri Kabinet kita memang meminta ahli jemaah menteri membuat ujian calitan sebagai langkah pencegahan dan pengawalan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya jika menteri Kabinet boleh meneruskan atau menghadiri program selepas ini, Dr Adham berkata, dalam ujian calitan RT-PCR, ada perkiraan nilai kitaran ambang (CT value) yang boleh menentukan tarikh atau masa seseorang yang dijangkiti boleh menjangkiti orang lain.

Beliau berkata, penilaian risiko pula akan dilakukan pakar kesihatan awam manakala Pusat Kesihatan daerah (PKD) yang akan mengeluarkan garis panduan sama ada jemaah menteri terbabit untuk langkah susulan selepas pengesahan jangkitan.

Jemaah Menteri mulai menjalani ujian calitan Covid-19 dipercayai selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19 Sabtu lalu.

Sementara itu, Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam tadi.

Pejabat Menteri dalam kenyataan media menyatakan Rina, 47, menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Putrajaya, pada pagi semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 4:48 PM