Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Lazimnya, kehidupan keluarga ahli korporat yang bernaung di bawah syarikat sama hanya dapat dilihat dalam drama tempatan.

Realitinya, ia wujud dalam kehidupan masyarakat sebenar dan kisah sebuah keluarga mendapat perhatian selepas seorang gadis, Nurul Airah Rosly, 23, berkongsi video di akaun TikTok miliknya, semalam.

Menerusi video berkenaan, Nurul Airah iaitu anak keempat dalam keluarga itu menunjukkan ruang pejabat bapa, abang dan kakaknya yang bekerja di syarikat sama.

Lebih menarik perhatian apabila Nurul Airah mendedahkan dirinya bekerja di syarikat sama hingga warganet menyamakan kisahnya dengan keluarga syarikat 'Megah Holdings' yang popular dalam drama disiarkan di televisyen.

Nurul Airah yang menetap di Kuala Terengganu, Terengganu berkata, niatnya memuat naik video berkenaan hanya untuk berkongsi pengalaman selain memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perniagaan barangan kitar semula diusahakan syarikat milik bapanya, Rosly Darahman, 57.

"Saya tidak menyangka kisah keluarga yang bekerja di bawah satu bumbung lebih menarik perhatian warganet.

"Video itu dirakam pagi semalam untuk suka-suka saja dan saya membuat naiknya di TikTok 30 minit kemudian.

"Tak sangka pula video itu menjadi tular dalam tempoh sejam dan lucunya kerana ramai menyamakan syarikat ayah dengan Megah Holdings.

"Persamaan itu mungkin dibuat kerana kisah itu sering dipaparkan drama di televisyen dan jarang dilihat dalam kehidupan sebenar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NURUL Airah (duduk kiri) bersama keluarganya. FOTO Nurul Airah Rosly
NURUL Airah (duduk kiri) bersama keluarganya. FOTO Nurul Airah Rosly

Berkongsi skop kerjanya dalam syarikat, Nurul Airah berkata, buat masa ini, dia ditugaskan menguruskan bahagian pemasaran

Katanya, tiga adik beradik lain iaitu abang dan kakaknya menyandang jawatan sebagai pengurus cawangan, operasi dan sumber manusia.

"Sebenarnya, saya masih menuntut di semester empat peringkat Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dan ketika ini cuti semester, jadi saya isi masa dengan bekerja di syarikat ayah.

"Malah, sudah menjadi rutin saya untuk membantu ayah di syarikat pada cuti semester," katanya.

Nurul Airah berkata, tiada layanan istimewa diterima walaupun bekerja di syarikat bapanya sendiri.

Katanya, dia dan adik beradik lain tidak terkecuali daripada menerima teguran sekiranya melakukan kesilapan.

"Ayah seorang yang tegas dan profesional dalam kerja. Jadi, tiada istilah saya atau adik beradik lain mendapat keistimewaan kerana kami tetap dimarahi ayah, malah lebih teruk berbanding kakitangan lain jika buat kesalahan.

"Namun, saya ambil teguran ayah itu untuk kebaikan bagi membaiki diri," katanya.

Mengenai hala tujunya, Nurul Airah berkata, dia tidak mahu berada di zon selesa kerana merancang untuk mengadakan latihan industri di syarikat lain bagi menimba pengalaman.

Menurutnya, selain keinginan sendiri, ayahnya memberi galakan untuk dia saya menjalani latihan industri di syarikat lain.

Katanya, pengalaman itu bagus kerana sekurang-kurangnya dia mendapat pendedahan dan berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan individu bukan ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 8:00 PM