NURIN Adlina (depan, kanan) mencuba pelbagai pekerjaan untuk menimba pengalaman. FOTO Nurin Adlina Abdul Rahim
NURIN Adlina (depan, kanan) mencuba pelbagai pekerjaan untuk menimba pengalaman. FOTO Nurin Adlina Abdul Rahim
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bukan satu atau dua, tetapi tujuh pekerjaan sambilan pernah dilakukan Nurin Adlina Abdul Halim selepas tamat tamat persekolahan.

Nurin Adlina, 22, adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Insuran), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.

Kisah anak ketiga daripada enam beradik itu tular selepas dia memuat naik video transformasinya menggayakan enam pakaian kerja di TikTok, baru-baru ini.

Perkongsian itu mendapat pujian warganet yang rata-ratanya memuji kesungguhan Nurin Adlina hingga menggelarkannya 'Ratu Kerja Sambilan'.

Nurin Adlina yang kini menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya, berkata dia mula bekerja sambilan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berusia 18 tahun.

NURIN Adlina (empat dari kiri) pernah melakukan tujuh pekerjaan sambilan sejak tamat persekolahan. FOTO Nurin Adlina Abdul Rahim
NURIN Adlina (empat dari kiri) pernah melakukan tujuh pekerjaan sambilan sejak tamat persekolahan. FOTO Nurin Adlina Abdul Rahim

"Niat saya untuk menimba pengalaman selainmenghilangkan bosan sementara menunggu tawaran masuk ke universiti, jadi saya beranikan diri memohon kerja di syarikat tekstil di Kuala Terengganu, Terengganu.

"Alhamdulillah, ibu dan ayah memberi keizinan dan percubaan sulung saya berhasil apabila diterima bekerja, tetapi hanya dapat menimba pengalaman selama tiga bulan di situ sebelum berhenti kerana menyambung pengajian peringkat diploma di UiTM Lendu, Alor Gajah.

"Selepas menyambung pengajian, saya cuba mencari peluang pekerjaan lain dan dapat bekerja sebagai pembantu restoran di Bandaraya Melaka.

"Ketika itu, jadual hujung minggu saya tidak padat kerana tiada kuliah pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, jadi gunakan masa yang ada dengan bekerja di restoran berkenaan sepanjang semester satu serta dua," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, majikannya menyediakan tempat tinggal dan dia perlu berulang-alik menaiki bas dari kampus pada Jumaat dan Ahad saja.

Katanya, dia seronok bekerja bekerja di situ kerana menerima upah RM50 sehari walaupun ada pengalaman pahit iaitu ditegur seorang lelaki tidak dikenali mengatakan dia bekerja di situ kerana tidak belajar bersungguh-sungguh ketika di sekolah.

"Saya kemudian bekerja pula di restoran makanan segera di pusat beli-belah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada cuti semester selepas dipelawa seorang rakan.

"Meskipun tiada pengalaman bekerja di restoran makanan segera, saya seronok kerana dapat menimba pengalaman baharu dan bekerja selama tiga bulan sepanjang cuti semester.

"Pada semester berikutnya, saya bekerja di sebuah lagi restoran di dalam pusat beli-belah sama dan boleh katakan itu pengalaman paling menyeronokkan, tetapi hanya dapat bertahan selama setahun saja kerana tiada lagi pengambilan untuk pekerja hujung minggu," katanya.

Menurutnya, disebabkan suka bekerja, dia memohon kerja lain dan akhirnya diterima bekerja di restoran makanan segera di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada tahun pertama selepas melanjutkan pengajian peringkat ijazah.

Katanya, pengalaman di situ tidak lama kerana syarikat mengambil langkah mengurangkan khidmat tenaga kerja sambilan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selepas itu, saya bekerja di sebuah restoran makanan Korea di Setia Alam, Shah Alam pada semester tiga dan terbaru sebagai juruwang di gudang jualan perabot terkemuka , tetapi hanya untuk tiga bulan kerana kontrak tidak dilanjutkan.

"Saya menonton satu video menunjukkan bagaimana pengguna TikTok melakukan transformasi dan saya belajar cara menghasilkannya.

"Kebetulan sedang mengemas bilik dan terjumpa baju kerja lama jadi saya terus rakam dan muat naik di TikTok untuk suka-suka.

"Tak sangka pula ramai yang menonton dan menghantar kiriman mesej untuk bertanya tips memohon kerja," katanya.

Nurin Adlina berharap, perkongsiannya itu memberi manfaat dan berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan kejayaannya.

Katanya, dia percaya ramai ada pengalaman sama atau lebih banyak, jadi video itu diharap dapat mewakili suara mereka.

"Jujurnya, saya mahu menimba lebih banyak pengalaman dan terbuka untuk mencuba bidang kerja lain pula pada masa depan jika diberikan peluang.

"Bagi saya, pengalaman kerja adalah sesuatu amat berharga dan orang lain terutama pelajar lepasan SPM boleh melakukannya jika ada minat serta usaha," katanya yang bercita-cita menjadi usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 9:16 PM