Ahmad Riduan (kiri) dan Nurul Ain bergambar dengan Razali (tengah). FOTO Ihsan Nurul Ain
Ahmad Riduan (kiri) dan Nurul Ain bergambar dengan Razali (tengah). FOTO Ihsan Nurul Ain
Raja Noraina Raja Rahim


“SAYA hampir membatalkan majlis pernikahan kerana ayah dimasukkan ke hospital. Alhamdulillah, sokongan keluarga dan bantuan pihak hospital saya dinikahkan di sana,” kata Nurul Ain Razali, 22.

Nurul Ain bersama pasangannya Ahmad Riduan Ariff, 24, disatukan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) pada Jumaat lalu, dan majlis pernikahan mereka tular di laman sosial Facebook.

Menurut Nurul Ain, bapanya Razali Baharudin, 55, yang menghidap penyakit buah pinggang secara tiba-tiba rebah dan dimasukkan ke HTJS pada Khamis lalu iaitu sehari sebelum majlis pernikahannya.

“Ketika itu keadaan ayah kronik dan perlu ditahan di wad. Ibu memberitahu doktor mengenai majlis pernikahan saya tetapi disebabkan keadaan ayah, doktor tidak membenarkan ayah dibawa pulang.

“Saya panik melihat keadaan ayah dan mahu membatalkan majlis pernikahan tetapi ditentang ibu serta ayah. Ayah minta saya teruskan juga dengan berwalikan abang atau bapa saudara.

“Bapa saudara kemudian memberi pandangan supaya saya bernikah di hospital. Saya bincang dengan ibu dan atas bantuan kakak saudara yang bekerja sebagai jururawat di HTJS, saya dapat melangsungkan pernikahan di HTJS,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

UPACARA pernikahan Ahmad Riduan dan Nurul Ain di HTJ. FOTO Ihsan Nurul Ain
UPACARA pernikahan Ahmad Riduan dan Nurul Ain di HTJ. FOTO Ihsan Nurul Ain

Nurul Ain berkata, dia bersyukur majlis berjalan lancar walaupun kebenaran untuk melangsungkan pernikahan di hospital itu diperoleh satu jam sebelum dia dan suami bernikah.

“Apabila mendapat kebenaran, saya dan ahli keluarga serta jurunikah bergegas ke hospital pada petang itu dan saya selamat dinikahkan dengan berwalikan imam sambil disaksikan ayah pada 6.30 petang,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, majlis persandingan diadakan di rumah di Kampung Siliau, Rantau, semalam tanpa bapa di sisi tetapi dia dan suami ke HTJS menziarahi bapanya itu selepas majlis selesai.

Bercerita mengenai kesihatan bapa, Nurul Ain berkata, bapanya menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun lalu dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis di Rantau.

Malah, katanya, bapa kerap dimasukkan ke hospital sejak sembilan bulan lalu kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu.

“Saya berharap ayah segera sembuh dan dapat turut serta di majlis bertandang pada 22 Disember ini. Saya pasti semua pengantin perempuan mengharapkan ayah ada bersama pada hari bahagia mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 3:32 PM