Redzuan Muharam

Nibong Tebal: Tanggal 1 Julai 2017 tidak mungkin dilupakan Muhammad Afiq Azman, 28, apabila dia menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) mendadak kesan penyakit kronik 'Multiple Sclerosis.'

Penyakit kronik jarang jumpa berpunca masalah saraf itu menyebabkan dia hilang upaya untuk berjalan.

Lebih mengejutkan Muhammad Afiq yang menetap di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini, apabila dia tidak mengalami sebarang simptom malah boleh berjalan dan memandu kereta sebelum itu.

Kisah Muhammad Afiq yang juga anak sulung daripada empat beradik mendapat perhatian selepas memuat naik video di TikTok menunjukkan dirinya berdikari sebagai OKU.

"Sehari sebelumnya (hilang keupayaan berjalan), saya boleh berjalan seperti biasa malah sempat membawa nenek ke pasar pada pagi hari kejadian.

"Pulang dari pasar, saya terlelap sekejap dan sebaik tersedar, saya dapati kaki saya sudah tidak dapat bergerak. Mulanya saya sangkakan ia hanya mimpi.

"Saya tidur semula dan selepas terjaga, saya dapati keadaan tetap sama dan ketika itu saya sudah tidak boleh berjalan. Saya terpaksa mengesot keluar daripada bilik bagi mendapatkan keluarga sebelum mereka membawa saya ke hospital ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Afiq,hasil pemeriksaan doktor di hospital mendapati terdapat luka berukuran 2.5 sentimeter (sm) pada saraf tunjangnya dan ia menyebabkan dia hilang keupayaan berjalan.

Meskipun sedih, tiada apa dapat dilakukannya melainkan menerima hakikat dan ketentuan Ilahi terhadapnya.

"Ujian datang ketika cuti semester tahun kedua pengajian dan apa yang berlaku pernah membuatkan saya hampir berhenti belajar.

"Dahulu saya seorang yang aktif dan kuat berjalan tetapi masalah saraf menyebabkan saya hilang nikmat itu. Namun sokongan keluarga terutama ibu dan abah selain rakan memberi semangat hingga saya dapat kekuatan untuk teruskan hidup.

"Cuma kini saya terpaksa tangguhkan pengajian satu semester untuk beri tumpuan kepada sesi fisioterapi dalam tempoh enam bulan pertama selepas bergelar OKU selain membiasakan diri dengan perubahan terutama apabila perlu membuang air kecil menggunakan tiub.

"Lama kelamaan, saya dapat biasakan diri cuma perasaan gementar datang ketika hari pertama melangkah semula ke kampus apabila melihat reaksi rakan. Saya perlu berjalan dengan menggunakan tongkat," katanya.

Walaupun dalam keadaan yang mencabar, Muhammad Afiq bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan menggenggam Ijazah Kejuruteraan Mekanikal.

Dia yang kini bergerak menggunakan kerusi roda juga lega apabila diterima bekerja sebagai Pegawai Sumber Manusia sebuah syarikat multi antarabangsa pada April lalu iaitu sebulan selepas menerima ijazah dalam majlis konvokesyen.

"Saya bersyukur dengan peluang diberikan malah rakan sekerja dan majikan kini juga memberi layanan baik malah syarikat menyediakan kemudahan yang mesra OKU.

"Cuma, saya juga ada impian seperti individu lain iaitu berkeluarga dan diharap ada insan yang sudi menerima saya sebagai pasangan hidupnya kelak," katanya yang menyimpan impian untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana untuk bergelar pensyarah.

(KIRI) Afiq sebelum OKU. (KANAN) Afiq (duduk di kerusi roda) bersama keluarga selepas majlis konvokesyen. FOTO IHSAN AFIQ AZMAN
(KIRI) Afiq sebelum OKU. (KANAN) Afiq (duduk di kerusi roda) bersama keluarga selepas majlis konvokesyen. FOTO IHSAN AFIQ AZMAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 4:45 PM