BERAMAH mesra di pejabat Mondelez.
BERAMAH mesra di pejabat Mondelez.
Redzuan Muharam


Berdasarkan kelulusan, Nurul Farahana Ellina Abdul Rahman, 27, layak mendapat pekerjaan bergaji lumayan namun gadis yang pernah membesar di luar negara itu sanggup bermula dari bawah demi mencari pengalaman kerja.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, keputusan itu dibuat dengan kerelaan sendiri tanpa dorongan keluarga mahupun paksaan sesiapa.

Menurut Nurul Farahana, sudah tiba masanya dia berbakti di negara sendiri dan secara peribadi, graduan Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Monash University Sunway itu puas kerana menimba banyak pengalaman berharga sepanjang lima tahun bekerja sebagai penolong pengurus jualan di syarikat pengeluar snek, Mondelez International yang berpangkalan di First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Sejak kecil, saya sudah terdedah dengan budaya masyarakat luar kerana menetap serta bersekolah di sana.

“Kerana itu, saya lebih terbuka dan tidak mempunyai masalah untuk bergaul dengan sesiapa termasuk golongan lebih berumur.

“Cuma, rezeki kerja di tanah air sendiri dan sebagai graduan yang tiada pengalaman, saya bersyukur kerana terus diterima bekerja selepas tamat mengikuti program iTaste anjuran syarikat,” katanya.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, sebelum berada di posisi sekarang, dia pernah diberi kepercayaan untuk bertugas di beberapa jabatan lain.

Nurul Farahana mengakui ia bukan tugas mudah kerana cabarannya juga besar tetapi dapat melakukannya dengan bimbingan kakitangan lebih berpengalaman.

“Peluang mengikuti program latihan sebelum bekerja di syarikat ini bukan laluan dan alasan untuk berada di zon selesa kerana saya tidak terkecuali daripada penilaian majikan.

“Untuk itu, saya perlu berusaha keras dan mengambil inisiatif sendiri dengan merujuk kepada kakitangan yang lebih berpengalaman,” katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya, Nurul Farahana berkata, walaupun tergolong dalam kelompok junior, dia diterima baik rakan sekerja termasuk mereka yang lebih senior.

Menurut Nurul Farahana, penerimaan baik itu memberinya motivasi untuk ke tempat kerja dan lebih produktif melaksanakan tugas seharian.

“Tipulah jika saya katakan tidak menerima tawaran gaji lebih baik daripada pekerjaan yang dilakukan sekarang.

“Namun, saya masih mahu bekerja dengan syarikat sekarang kerana suasana kerja yang menyeronokkan selain sayangkan hubungan antara kami bagaikan sebuah keluarga.

“Sebab lain saya masih di sini adalah kerana syarikat sentiasa terbuka untuk menerima idea daripada semua termasuk kakitangan baru seperti saya yang memang gemar melontarkan pandangan ,” katanya yang pernah menerima Anugerah Jualan Paling Memberangsangkan daripada Mondelez International.

Nurul Farahana, buat masa ini, dia tidak aktif dengan mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Nurul Farahana berkata, masa terluang dihabiskan dengan aktiviti menyelam di dalam dan luar negara.

“Sejak dua tahun lalu, saya aktif menyelam dan aktiviti itu bukan hanya dilakukan di dalam tetapi luar negara.

“Menyelam bukan sekadar satu hobi tetapi terapi untuk menghilangkan tekanan selepas penat bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 1:26 PM