AHLI keluarga mangsa menunggu di perkarangan Bilik Mayat Hospital Jengka, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
AHLI keluarga mangsa menunggu di perkarangan Bilik Mayat Hospital Jengka, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
Nazirul Roselan


“ARWAH memang suka memancing dan menjaring ikan bila ada waktu lapang. Bila dapat tangkap ikan, dia akan sedekahkan kepada orang kampung dan kawan-kawan sebab suka berkongsi rezeki dengan orang lain.”

Begitu kata Nurul Ain Singah, isteri Ali Awang, 36, yang ditemui lemas dalam ladang kelapa sawit selepas menjala ikan di Kampung Pertanian, Pekan Tajau, Maran, hari ini.

Nurul Ain, 33, berkata, suaminya gemar pergi ke kawasan anak sungai di ladang sawit itu untuk mencari ikan bersama rakannya, Abdullah Abdul Ghani, 19.

Katanya, arwah gemar berkongsi rezeki yang diperoleh dengan jirannya jika memperoleh hasil tangkapan yang banyak.

“Dalam seminggu, tiga atau empat kali dia akan ke kawasan anak sungai berkenaan bersama Abdullah. Setiap kali mencari ikan, dia pasti sudah pulang ke rumah sebelum jam 7 malam dan tidak akan balik hingga lewat malam.

“Tetapi semalam, saya tunggu sampai jam 8 malam arwah tidak pulang. Saya mula tidak sedap hati dan memberitahu rakannya untuk mencari arwah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Jengka, hari ini.

Mayat Ali dan rakannya, Abdullah Abdul Ghani, 19, ditemui oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran jam 12.45 tengah hari selepas dikatakan keluar menjala ikan sejak semalam.

NURUL Ain Singah. FOTO Nazirul Roselan
NURUL Ain Singah. FOTO Nazirul Roselan

Ali yang tinggal di FELDA Jengka 4 dan bekerja sendiri meninggalkan isteri dan dua anak perempuan, Nurul Airah Shaheda, 11, dan Nurul Amirah Shuhada, 3.

Sementara itu, bapa saudara Abdullah, Solah Mamat, 43, memaklumkan anak saudaranya rapat dengan Ali dan sering bersama ketika pergi ke mana-mana.

“Ke mana saja Ali pergi, Abdullah akan ikut, apa Abdullah nak, Ali akan bagi sampai nak motosikal pun Ali bagi walaupun perlu tolak gaji,” katanya.

Abdullah yang tinggal bersama bapa saudaranya di Kampung Pertanian itu adalah anak kedua daripada tiga beradik dan disifatkan sebagai insan bertanggung jawab apabila sering membeli barang keperluan harian keluarga.

“Saya difahamkan mereka pergi ke kawasan anak sungai itu untuk pasang jaring, tengah hari (semalam) mereka balik sembahyang Jumaat sebelum pergi semula jam 3 petang untuk mengutip ikan,” katanya.

Difahamkan, jenazah Ali akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Jengka 4, manakala jenazah Abdullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Pertanian, Pekan Tajau, hari ini.

Berita berkaitan

Dua lelaki lemas ketika jala ikan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:59 PM