SULAIMAN bertanya sesuatu kepada dua remaja yang mencari kerja dan pegawai syarikat swasta pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri yang menyediakan 5,000 peluang pekerjaan melalui penyertaan 35 majikan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
SULAIMAN bertanya sesuatu kepada dua remaja yang mencari kerja dan pegawai syarikat swasta pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri yang menyediakan 5,000 peluang pekerjaan melalui penyertaan 35 majikan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Seramai 1,500 daripada 5,000 remaja yang berusaha mendapatkan pekerjaan pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri di sini, hari ini diyakini berjaya berbuat demikian.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, unjuran itu sejajar kemampuan karnival seumpama itu yang diadakan pada Ogos lalu yang berjaya menyediakan pekerjaan kepada 1,073 remaja, terutama dalam sektor industri perkilangan.

Beliau berkata, karnival anjuran Institut Tun Perak (ITP) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menyediakan 5,000 peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor industri pembuatan.

"Dijangka 1,500 remaja mendapat pekerjaan daripada temuduga yang dijalankan 35 majikan hari ini, terutama dalam bidang perkilangan, selain perkhidmatan.

"Saya minta mereka supaya tidak memilih pekerjaan, terutama dalam keadaan semasa yang menyebabkan ramai hilang kerja akibat Covid-19," katanya pada sidang media selepas perasmian karnival di Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman dan Ketua Eksekutif (CEO) ITP Datuk Dr Sabri Mohd Sharif.

Sulaiman berkata, 2,800 anggota komuniti di negeri ini kehilangan pekerjaan akibat Covid-19 sejak Mac tahun lalu selain 10,885 terkesan akibat pandemik terbabit.

"Yang terkesan itu membabitkan pekerja yang terpaksa dipotong gaji, diberikan cuti rehat dan seumpamanya," katanya.

Sulaiman bagaimanapun berkata, karnival itu tidak disertai walaupun sebuah syarikat berkaitan industri pelancongan kerana sektor berkenaan masih belum pulih daripada kesan Covid-19.

Menurut beliau, sektor pelancongan yang paling teruk terjejas ialah perkhidmatan sewaan bot pelancong menyusuri Sungai Melaka dan penyediaan perkhidmatan pemandangan indah di Menara Taming Sari di Bandaraya Melaka.

"Selagi rentas negeri tidak dibenarkan, maka selagi itulah industri pelancongan di negeri ini tidak mampu pulih sepenuhnya," katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, industri berkenaan kini bergantung kepada pelancong domestik, sejajar usaha kerajaan negeri menggalakkan masyarakat tempatan melancong dalam negeri melalui kempen 'Orang Melaka Melawat Melaka' yang dilancarkan hujung tahun lalu.

Beliau berkata, bagi memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai, karnival seumpama itu akan diadakan lagi pada pertengahan dan hujung tahun ini di Bandaraya Melaka dan Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 2:19 PM