Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA) melancarkan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia bagi memastikan usahawan sentiasa berdaya saing.

Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan usahawan berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih.

"Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia ini adalah inisiatif UDA bersama kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi Keluarga Usahawan di Malaysia.

"Inisiatif ini juga diharap dapat merancakkan pembabitan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti dari golongan wanita khususnya suri rumah serta generasi muda seperti siswazah," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi merasmikan dan meninjau karnival berkenaan.

Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melawat reruai jualan pada Karnival UDA Ushaniaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melawat reruai jualan pada Karnival UDA Ushaniaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur hari ini.

Karnival berkenaan juga akan berlangsung di beberapa negeri antaranya di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 September), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 September), Angsana Ipoh Mall, Perak (30 September-2 Oktober) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Oktober) yang mensasarkan penyertaan 100 usahawan di setiap lokasi.

Menurutnya, sasaran pembabitan golongan wanita, belia serta graduan dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.

"Penganjuran karnival itu juga seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE di mana UDA komited memperkasa gaya hidup lestari selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.

"Akronim 'USHA' bermaksud 'UDA Sempurnakan Hari Anda' yang diterjemahkan sebagai jiwa dan falsafah karnival ini menjadi aspirasi UDA dalam menyediakan peluang dan platform untuk memperkasa serta memajukan usahawan dari pelbagai latar belakang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 8:01 PM