Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) didapati cuba menghalang kerajaan sementara daripada menganjurkan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak dapat menghalang penganjuran program itu memandangkan lokasi karnival berada di tanah persendirian.

"Kita buat ini demi kepentingan peniaga dan usahawan Selangor, bukannya untuk berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Beginilah mereka (kerajaan PH) melayan peniaga dan usahawan.

"Walaupun pada mulanya tidak dibenarkan, kami bertungkus-lumus mengadakan program ini demi kepentingan peniaga dan usahawan," katanya ketika berucap pada perasmian karnival itu di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, di sini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar.

KUKKM yang berlangsung selama sehari itu dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung, berbanding sasaran asal 4,000 pengunjung walaupun pada hari bekerja.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta rakyat supaya memilih kerajaan yang tepat sekiranya mahu mendapatkan manfaat daripada Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini.

"Jika inginkan bajet itu, pastikan pilih kerajaan yang telah membentangkannya.

"Kalau kerajaan lain ambil alih, tidak pasti sama ada mereka boleh memastikan bajet sama untuk rakyat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, KUKKM mampu memperkasakan usahawan dan koperasi supaya lebih maju serta berdaya saing dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, karnival itu adalah manifestasi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat dalam menyediakan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif.

"KUKKM berjaya menghimpunkan warga Selangor sama ada usahawan, koperasi, penjaja, peniaga kecil dan 'food truck' yang menawarkan pelbagai produk serta barangan pada harga berpatutan.

"Saya berharap mana-mana kerajaan negeri memberi ruang sekiranya program kerajaan dilakukan untuk kepentingan peniaga dan usahawan kecil.

"Karnival ini memberi ruang kepada usahawan mempamerkan produk, berniaga dan sepatutnya disokong semua pihak termasuk kerajaan negeri," katanya.

 ISMAIL Sabri hadiri Majlis Perasmian KUKKM di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam. FOTO Faiz Anuar
ISMAIL Sabri hadiri Majlis Perasmian KUKKM di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 3:01 PM