ORANG  ramai mula mengunjungi Karnival Planet Ummah Masjid Utama Jakim 2017 di Dataran Putra. FOTO Nursyahirah Marzuki
ORANG ramai mula mengunjungi Karnival Planet Ummah Masjid Utama Jakim 2017 di Dataran Putra. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


KARNIVAL Planet Ummah Masjid Utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2017 yang bermula hari ini dilihat mampu menonjolkan peranan masjid sebagai institusi menyatupadukan masyarakat di negara ini.

Karnival yang diadakan selama empat hari di Dataran Masjid Putra, Putrajaya itu menampilkan pelbagai aktiviti yang mampu menarik orang ramai hadir ke karnival berkonsep Islamik berkenaan.

Antaranya, kayuhan Unity For All (u4All), trak makanan, talaqqi al-Quran perdana, ukhuwwah ihya' masjid, senaman bersama Imam Masjid Utama dan kuliah Maghrib oleh Ustaz Ebit Liew, pertunjukan fesyen muslimah serta Bicara Kemanusian yang dihadiri penyanyi Khai Bahar.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati, pelbagai gerai sudah mula beroperasi dengan menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung tidak kira usia.

Malah, kawasan sekitar Dataran Putra sudah mula dipenuhi orang ramai terutama pelancong dari luar negara yang datang melawat ke negara ini.

Seorang pengunjung, Mohamad Idris Yang, 68, berkata, penganjuran karival itu memberi peluang terutama kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali institusi berkenaan dengan lebih dekat.

"Karnival ini boleh dijadikan sebagai contoh terbaik kepada masyarakat bukan Islam mengenai peranan masjid yang bukan hanya dijadikan sebagai tempat beribadah.

"Masjid adalah tempat untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat sekitar malah, ia juga berfungsi untuk mengumpulkan masyarakat," katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Hazreen Mohd Hairuddin, 27, berkata, karnival yang menyasarkan 70,000 pengunjung itu mampu memberi peluang terutama kepada usahawan muslim untuk meningkatkan pendapatan mereka.

"Pelaksanaan karnival seperti ini bukan sahaja beri peluang kepada masyarakat pelbagai agama untuk berkunjung tetapi ia juga membantu memperkenalkan produk usahawan muslim.

"Selain itu, pelancong dari luar negara juga berpeluang melihat sendiri budaya di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:58 PM