Norzamira Che Noh


Shah Alam: Satu sindiket pengedaran dadah menggunakan 'penghantar dadah' di sekitar Lembah Klang tumpas apabila tiga lelaki tempatan ditahan dalam tiga serbuan pada 26 Februari lalu.

Difahamkan, penghantar yang membawa bekalan dadah berkenaan memperoleh ganjaran lumayan iaitu RM10,000 untuk setiap 'trip'.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan itu polis merampas 69.06 kilogram dadah bernilai RM3.1 juta di Serdang serta Ampang Jaya.

Katanya, dalam serbuan bermula 9 pagi, polis menahan tiga lelaki warga tempatan, seorang dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah manakala dua lagi bertindak sebagai penghantar.

"Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan bersama 10 bungkus dadah jenis Methamphetamine (syabu) di sebuah tempat letak kereta awam di tepi jalan di Serdang.

"Serbuan kedua pula dilakukan di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Serdang yang mana polis menahan dua lelaki dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan dadah.

"Pada serbuan ketiga, polis merampas 60 bungkus dadah dari sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Ampang Jaya. Rampasan 70 bungkus dadah dianggarkan seberat 69.06 kilogram dan bernilai RM3.1 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan aktif sejak awal tahun ini dan mendapat bekalan dadah dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang.

DATUK Arjunaidi Mohamed (dua dari kanan) pada sidang media kejayaan anggota Polis menumpaskan sindiket dadah jenis syabu dalam tiga serbuan di Serdang dan Ampang Jaya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
DATUK Arjunaidi Mohamed (dua dari kanan) pada sidang media kejayaan anggota Polis menumpaskan sindiket dadah jenis syabu dalam tiga serbuan di Serdang dan Ampang Jaya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 38 tahun itu tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 4:40 PM