ARJUNAIDI menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Ihsan polis
ARJUNAIDI menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Ihsan polis
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan merampas sejumlah dadah bernilai RM44 juta membabitkan 10 serbuan di Serdang, Ampang Jaya dan Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan 14 ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan termasuk empat wanita.

"Hasil serbuan itu kita berjaya membongkarkan tiga stor menyimpan dadah serta merampas 431 bungkusan berisi dadah jenis syabu, 863 ketulan mampat (slab) disyaki heroin base dan 2,000 biji pil erimin 5 dengan anggaran berat 764.34 kilogram bernilai RM44 juta.

"Dalam 10 serbuan itu, seramai 10 lelaki tempatan, tiga wanita tempatan serta seorang wanita warganegara Vietnam (isteri kepada seorang daripada suspek lelaki) ditahan.

"Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 tahun hingga 70 tahun yang ditahan itu dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah syabu, heroin base dan pil erimin 5 di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit mula beroperasi sejak tahun lalu dan mendapat bekalan dadah dari negara jiran di Utara Semenanjung.

Malah katanya, suspek melepasi sekatan jalan raya dengan menggunakan kenderaan perdagangan.

"Dadah ini untuk pasaran tempatan. Modus operandi mereka adalah dadah dibawa menggunakan lori buah-buahan yang disorok dan ditutup dengan buah-buahan, ia kemudian ditransit ke tiga rumah yang dijadikan sebagai stor penyimpanan itu.

"Selain itu, mereka juga menggunakan mana-mana kenderaan perdagangan lain.

"Siasatan awal mendapati mereka belum terbabit dengan kongsi gelap tetapi pihak JSJN sedang berusaha mengesan saki baki sindiket terbabit," katanya.

Arjunaidi berkata, susulan serbuan itu, polis turut menyita pelbagai aset sindiket membabitkan tujuh kenderaan, tujuh akaun bank, wang tunai pelbagai negara, seutas jam tangan berjenama mewah serta pelbagai barang kemas.

"Kesemua rampasan ini dianggarkan bernilai RM 477,709.21. Nilai keseluruhan termasuk dadah adalah RM 44.48 juta," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan urin ke atas semua suspek adalah negatif, bagaimanapun enam dari suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini.

"Tindakan ke atas suspek juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 1:36 PM