Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang apabila menahan pasangan kekasih berusia 20 tahun dalam serbuan di sebuab hotel di Pusat Perdagangan One Puchong, di sini 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan berkata, menerusi penahanan itu polis menemui 6 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedarkan oleh suspek lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam berkenaan.

"Hasil penahanan suspek, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudian menyerbu sebuah kondominium yang disewa sindiket berkenaan sejak Januari di Kepong, Kuala Lumpur.

"Pasukan serbuan berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 21kg, 9,600 biji pil erimin 5, dan 6,000 biji pil ekstasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Anbalangan berkata, polis percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaran di Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket sedang dijalankan.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber semua bahan narkotik berkenaan dibawa masuk sama ada produk buatan tempatan atau dari luar.

"Sumber dadah ini kita sedang siasat sama ada dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek ini.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam peket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan,"katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah dalam serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM 215,000 manakala rampasan kedua RM992,000.

"Kedua-dua suspek direman bermula 10 hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

ANBALAGAN (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
ANBALAGAN (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 1:35 PM