Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM20.56 juta dan menahan lima lelaki tempatan membabitkan dua sindiket pengedaran dadah berasingan di Ampang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya, minggu lalu.

Dadah seberat 299.33 kilogram (kg) yang dirampas itu membabitkan heroin base, pil erimin 5, methamphetamine, ganja, pil ecstasy dan caffein.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang itu adalah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, JSJN Bukit Aman, Johor serta Negeri Sembilan.

"Dalam kes pertama pada jam 6.45 petang, 13 September lalu, polis menahan dua lelaki berumur 32 dan 35 tahun di tempat letak kereta berdekatan sebuah pasar raya di Ampang.

"Menerusi tangkapan itu, polis berjaya merampas empat ketulan mampat bahan disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan 1.54 kilogram.

"Kemudian, seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes ini ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

ARJUNAIDI menunjukkan dadah yang dirampas serta peralatan digunakan bagi memproses dadah. FOTO Ruwaida Md Zain
ARJUNAIDI menunjukkan dadah yang dirampas serta peralatan digunakan bagi memproses dadah. FOTO Ruwaida Md Zain

Arjunaidi berkata, pada jam 9.15 malam hari sama, dengan dipandu arah dua suspek, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Sri Damansara.

"Siasatan lanjut mendapati, polis menjumpai 112 ketulan mampat disyaki heroin base dengan anggaran berat 43.48 kg serta 89,500 biji pil erimin 5 anggaran berat 27.2 kg di dalam sebuah Mercedes," katanya.

Dalam kes kedua, pada 15 September pula katanya, polis menangkap dua lelaki berumur 23 dan 27 tahun di sebuah rumah dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Damansara Perdana, Petaling Jaya jam 6.10 petang.

"Pemeriksaan di rumah terbabit, polis menemui 355 bungkusan disyaki heroin (anggaran berat 134.19 kg), 54 bungkusan disyaki methamphetamine (anggaran berat 59.04 kg) dan 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja (anggaran berat 20 kg).

"Polis turut menemui 15,830 biji pil erimin 5 (anggaran berat 4.56 kg), tujuh bungkusan disyaki pil ecstasy (anggaran berat 3.19 kg) dan enam bungkusan disyaki caffeine (anggaran berat 6.12 kg)

"Selain itu, polis turut menjumpai bahan dan peralatan memproses dadah seperti empat botol plastik 'accetone', satu botol plastik 'ethanol', mesin memproses dadah, corong besi serta pelbagai peralatan menghasilkan dadah," katanya.

Beliau berkata, dadah bernilai RM20.56 juta itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita aset sindiket bernilai RM152,001.

"Aset yang disita termasuk dua kereta iaitu Nissan Impul dan Audi, lima motosikal iaitu Ducati, Honda ADV, Yamaha RXZ, Yamaha Y15ZR dan SYM juga topi keledar Shoei.

"Polis turut menyita tiga jam tangan bernilai RM5,000 serta wang tunai RM5,001," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula sehari selepas ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 12:55 PM