FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


POLIS Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.74 juta dalam dua serbuan pada 2 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, serbuan pertama dilakukan pada 11.30 pagi di sebuah kondominium di Ampang Jaya apabila polis berjaya menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita.

“Ketika ditahan, suspek pertama menyerahkan tiga peket plastik berisi serbuk Nimetazepam (Eramin 5) seberat 32.5 gram.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui 1,680 botol kaca berisi cecair dipercayai Eramin 5 dengan anggaran isipadu 10 mililiter (ml) untuk setiap botol.

“Kami turut menemui 66 bungkusan dadah disyaki methamphetamine (syabu) dengan anggaran berat 23.5 kilogram (kg) serta enam bungkus plastik berisi heroin (1.48kg). Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM2.55 juta ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, kurang 24 jam selepas serbuan pertama, polis kemudian menyerbu sebuah pangsapuri di Damansara Damai, Petaling Jaya pada 11.30 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan, polis menemui empat kotak berisi 165 bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 43.7kg dianggarkan bernilai RM2.19 juta menjadikan jumlah rampasan dadah keseluruhan bernilai RM4.74 juta.

Noor Azam berkata, suspek pertama berusia 24 tahun dipercayai dalang sindiket dan abang kepada suspek kedua iaitu lelaki berusia 19 tahun manakala wanita berusia 21 tahun adalah teman wanita kepada suspek pertama.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek utama positif dadah jenis syabu manakala dua lagi negatif.

“Hanya suspek wanita mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan dan semua tangkapan direman selama tujuh hari mulai 3 Mac lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:02 PM