Polis berjaya merampas sejumlah dadah bernilai RM44 juta dan menahan 14 suspek terbabit dalam sindiket pengedaran dadah. FOTO IHSAN IPK SELANGOR
Polis berjaya merampas sejumlah dadah bernilai RM44 juta dan menahan 14 suspek terbabit dalam sindiket pengedaran dadah. FOTO IHSAN IPK SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah bernilai RM44 juta membabitkan 10 serbuan di Serdang, Ampang Jaya dan Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menahan 14 ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan termasuk empat wanita.

"Hasil serbuan itu, berjaya membongkarkan tiga stor menyimpan dadah serta merampas 431 bungkusan berisi dadah jenis syabu, 863 slab disyaki heroin base dan 2,000 biji pil erimin 5 dengan anggaran berat 764.34 kilogram bernilai RM44 juta.

"Menerusi 10 serbuan dijalankan, 10 lelaki tempatan, tiga wanita tempatan serta seorang wanita warganegara Vietnam (isteri kepada salah seorang suspek lelaki) ditahan.

"Kesemua suspek berumur lingkungan 20 tahun hingga 70 tahun yang ditahan itu dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah syabu, heroin base dan pil Erimin 5 di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.

Arjunaidi berkata, menerusi serbuan itu, polis turut menyita pelbagai aset sindiket membabitkan tujuh kenderaan, tujuh akaun bank, wang tunai pelbagai negara, seutas jam tangan berjenama mewah serta pelbagai barang kemas.

"Kesemua rampasan ini dianggarkan bernilai RM 477,709.21. Nilai keseluruhan termasuk dadah adalah RM 44.48 juta," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan urin ke atas semua suspek adalah negatif bagaimanapun enam suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini,.

"Tindakan ke atas suspek juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Mengulas mengenai sindiket pengedaran dadah berkenaan katanya, siasatan mendapati sindiket terbabit mula beroperasi sejak tahun lalu dan mendapat bekalan dadah dari negara jiran di utara.

Malah katanya, suspek melepasi sekatan jalan raya menggunakan kenderaan perdagangan.

"Dadah ini untuk pasaran tempatan. Modus operandi mereka adalah dadah dibawa menggunakan lori buah, dadah disorok dan ditutup dengan buah, di bawah buah diletakkan dadah berkenaan, kemudian transit ke tiga rumah yang dijadikan stor penyimpanan.

"Bagaimanapun tidak semestinya lori buah, mereka juga menggunakan mana-mana kenderaan perdagangan lain.

"Siasatan awal mendapati belum ada yang terbabit dengan kongsi gelap tetapi pihak JSJN sedang berusaha mengesan saki baki sindiket terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 2:29 PM