Badrul Hisham Shaharin tiba di mahkamah. FOTO Aizuddin Saad
Badrul Hisham Shaharin tiba di mahkamah. FOTO Aizuddin Saad
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard tiba di Kompleks Mahkamah di sini, untuk berdepan pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948.

Chegu Bard yang bergari dan memakai set baju Melayu lengkap dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk lobi mahkamah pada jam 9.20 pagi.

Beliau sempat memberi salam dan mengucapkan selamat Hari Raya kepada pengamal media yang mengambil foto dan videonya.

Semalam, peguam bela Chegu Bard, Rafique Rashid Ali, berkata anak guamnya itu akan berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah dan menghasut.

Kenyataan itu membabitkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Kee Kan memohon maaf kepada baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah 'Allah' di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 10:38 AM