ALCARAZ membalas pukulan Seyboth Wild pada perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
ALCARAZ membalas pukulan Seyboth Wild pada perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Pilihan kedua, Carlos Alcaraz dari Sepanyol meneruskan impian muncul pemain pertama merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut di Terbuka Madrid selepas menewaskan pemain bukan pilihan dari Brazil, Thiago Seyboth Wild 6-3, 6-3, awal pagi tadi.

Pemain berusia 20 tahun itu mendahului 5-0 pada set kedua sebelum menang dalam tempoh 75 minit untuk mara ke pusingan keempat.

Alcaraz yang berada di ranking ketiga dunia dilihat memakai pembalut pada lengan kanan selepas terlepas Terbuka Barcelona awal bulan ini kerana cedera.

Tetapi, juara kejohanan utama dua kali itu tiada masalah untuk merangkul kemenangan dan terus mara.

"Saya fikir bermain pada tahap sangat baik," kata Alcaraz.

"Menjelang perlawanan ini, saya agak risau kerana tidak tahu bagaimana reaksi lengan kanan saya.

"Thiago memiliki pukulan padu dan dia memang gagah. Saya sangat gembira dengan prestasi ini. Agak sukar di hujung perlawanan selepas kedudukan 5-0 dan membuat servis pada mata 5-3. Saya sangat gembira akhirnya muncul pemenang."

Di pusingan keempat, Alcaraz akan berdepan pilihan ke-23, Jan-Lennard Struff dari Jerman, yang menjadi perlawanan ulangan final tahun lalu.

Struff menyingkirkan pemain pilihan ke-13 dari Perancis, Ugo Humber, semalam.

"Saya harap hasilnya seperti final tahun lalu,, Kami tahu sejauh mana kemampuan dan tahap permainannya," kata Alcaraz.

"Kami akan memberikan 100 peratus. Ia menjadi perlawanan agak kurang selesa, tetapi saya fikir penonton pasti akan menikmatinya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:58 AM