BUAYA sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap di Kampung Sulap Lada, Bekenu, Miri, malam tadi.FOTO ERIKA GEORGE
BUAYA sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap di Kampung Sulap Lada, Bekenu, Miri, malam tadi.FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Miri: Seekor buaya sepanjang tiga meter yang menceroboh masuk ke kawasan Kampung Sulap Lada, Bekenu, di sini, ditangkap penduduk kampung pada 8 malam tadi.

Jurucakap Pasukan Alpha Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.05 malam sebelum mengarahkan tujuh anggotanya menjalankan khidmat khas menangkap reptilia ganas itu.

"Sampai di kampung berkenaan, kami mendapati terdapat seekor buaya yang ditangkap penduduk kampung di kawasan sungai berhampiran.

"Kami menghubungi pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi membantu mengikat serta mengangkat sang bedal itu.

"Selepas berjaya diikat dalam masa setengah jam, buaya itu kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana kehadiran buaya itu tidak mendatangkan kecederaan atau insiden tidak diingini buat penduduk kampung.

Difahamkan buaya terbabit kerap muncul di Sungai Sulap Lada dan ia dipercayai naik ke darat kerana ingin mencari makanan menyebabkannya menceroboh masuk ke kawasan kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 12:10 PM