Anggota badan manusia ditemui dalam perut buaya Khamis lalu. FOTO Ihsan SFC
Anggota badan manusia ditemui dalam perut buaya Khamis lalu. FOTO Ihsan SFC
Garret Dawum


BEBERAPA bahagian badan manusia dipercayai warga Indonesia yang diserang buaya ditemui di dalam abdomen buaya di Kuala Suai, Miri Khamis lalu.

Buaya sepanjang 4.2 meter itu ditangkap Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam operasi menjejakinya.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, lima perangkap dipasang sepanjang sungai dalam operasi bermula sejak 29 November lalu.

“Selepas seminggu, kami akhirnya berjaya memerangkap seekor buaya besar.

“Hasil pemeriksaan dalam abdomen buaya itu, kami menemui beberapa bahagian badan manusia.

“Badan manusia yang dijumpai itu diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zolkipli, pasukan SWAT dihantar ke lokasi itu selepas warga Indonesia dilaporkan maut akibat diserang buaya di sebuah ladang kelapa sawit Kuala Suai pada 25 November lalu.

“Mangsa yang diserang itu dikenali Asbullah Daeng Situju, 37. Bagi menjejaki buaya itu, pasukan SWAT dihantar ke lokasi.

“Terima kasih atas bantuan yang dihulurkan Balai Polis Batu Niah, pengurusan perladangan kelapa sawit dan masyarakat ketika operasi dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 12:21 PM