BUAYA yang kerap tersesat ke penempatan penduduk ditangkap pasukan SFC semalam. FOTO ihsan SFC
BUAYA yang kerap tersesat ke penempatan penduduk ditangkap pasukan SFC semalam. FOTO ihsan SFC
Erika George


Bintulu: Buaya sepanjang 2.5 meter yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk di Kampung Sebuan Besar, di sini, berjaya ditangkap pasukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) Bintulu, semalam.

Jurucakap SFC berkata, pihaknya memasang pancing buaya di beberapa lokasi reptilia berkenaan sering kelihatan di Sungai Sebuan Besar pada jam 10.20 pagi.

"Sebelum ini, pihak SFC pernah memasang pancing namun buaya terbabit berjaya melepaskan diri kerana tali pancing terputus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, usaha semalam membuahkan hasil selepas buaya terbabit termakan pancing pada jam 1.10 tengah hari.

"Dengan tertangkapnya buaya itu, ia kelegaan buat penduduk kampung yang kebanyakannya tinggal di tepian sungai kerana reptilia itu sering tersesat masuk ke kawasan penempatan.

"Dalam kejadian pada 6 Februari lalu, buaya itu naik ke jeti sekali gus mendatangkan keresahan penduduk," katanya.

Jurucakap itu berkata, buaya itu juga kerap dilihat berada di bawah rumah penduduk sehingga menakutkan orang ramai.

"Buaya jantan seberat 140 kilogram yang ditangkap itu dilepaskan semula ke habitat asalnya di Taman Negara Similajau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:50 PM