ANAK buaya sepanjang 1.2 meter yang terbelit pada pukat salah seorang penduduk di Rumah Panjang Beranyai di Sebatu Niah pagi tadi. FOTO Erika George
ANAK buaya sepanjang 1.2 meter yang terbelit pada pukat salah seorang penduduk di Rumah Panjang Beranyai di Sebatu Niah pagi tadi. FOTO Erika George
Erika George


Miri: Seorang lelaki terkejut apabila seekor anak buaya sepanjang 1.2 meter terbelit pada pukat dipasangnya di sebuah anak sungai, di sini, hari ini.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, dia yang tinggal di Rumah Panjang Beranyai di Sebatu, menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bagi menjalankan khidmat khas menangkap reptilia berkenaan.

Jurucakap BBP Batu Niah berkata, sepasukan anggotanya bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.47 pagi.

"Anggota bomba mendapati seekor anak buaya tersangkut pada pukat dipasang di anak sungai berhampiran ladang kelapa sawit.

"Air sungai ketika itu melimpah ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran dan kebanyakan penduduk kampung memasang pukat bagi mendapatkan ikan.

"Pasukan bomba mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan anak buaya itu dari pukat dan operasi menyelamatkannya tamat pada 9.40 pagi," katanya.

Menurutnya, anak buaya itu dibawa ke BBP Batu Niah sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutama ketika musim tengkujuh dan banjir kerana buaya kerap tersesat masuk ke kawasan penempatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:28 PM