Seekor buaya sepanjang 3 meter yang berjaya dikeluarkan dari sebuah parit dk Kampung Melango. FOTO / ERIKA GEORGE
Seekor buaya sepanjang 3 meter yang berjaya dikeluarkan dari sebuah parit dk Kampung Melango. FOTO / ERIKA GEORGE
Erika George


Saratok: Penduduk di Kampung Melango di sini, digemparkan dengan penemuan seekor buaya sepanjang tiga meter yang tersesat masuk ke dalam parit di kampung terbabit, malam tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kehadiran reptilia ganas itu hanya disedari penduduk kampung selepas terdengar bunyi kocakan air yang kuat dalam air parit.

"Alangkah terkejutnya penduduk kampung apabila mendapati seekor buaya terperangkap dalam parit terbabit," katanya.

Menurutnya, PGO menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.19 malam lalu mengarahkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bagi menjalankan khidmat khas menangkap serta mengeluarkan reptilia itu dari dalam parit.

Katanya, sampai di lokasi kejadian, bomba mendapati terdapat seekor buaya yang terperangkap dalam parit bersebelahan kediaman penduduk.

"Pasukan bomba mengambil masa selama setengah jam bagi menangkap reptilia itu dengan menggunakan tali penjerut untuk menariknya keluar dari parit," ujarnya.

Buaya itu kemudian diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi tindakan lanjut.

Pada tahun 2016, buaya tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti yang termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Bagaimanapun, haiwan terbabit tidak boleh dicederakan atau dibunuh sesuka hati yang mana orang awam harus segera menghubungi SFC, sekiranya buaya menceroboh masuk ke kawasan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:37 AM