GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Butterworth: Penolong Pegawai Senibina Jabatan Konservasi Warisan di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Zahari Abdul Hamid selepas tertuduh, Zamira Juneed, 38, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, Zamira didakwa menerima rasuah keseluruhan RM16,800 bagi mempercepatkan proses permohonan tukar guna kediaman kepada hotel dan proses pengubahsuaian bangunan daripada beberapa pemilik syarikat.

Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic, Jalan Bagan Luar di sini, antara 14 Januari 2015 hingga 22 September 2016, yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini dan Mohd Azlan Basri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, ibu kepada dua anak itu memohon maaf atas kesalahannya minta dikenakan hukuman ringan kerana dia penanggung tunggal keluarga yang perlu menjaga ibu bapa selain suami yang ada masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 4:03 PM