BERNAMA

PENGARAH Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek bernilai RM45,472 kepada syarikat milik anak lelakinya, empat tahun lalu.

Mohd Saidi Midin, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Mohd Saidi didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengarah JPNIN Pulau Pinang dengan Gred 52 untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek perkhidmatan sistem EDU KIDS bernilai RM45,472 kepada Syarikat Thekiey Studio milik anak kandungnya, Mohd Al-Azhim Mohd Saidi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat JPNIN Pulau Pinang, Aras 5 Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, Georgetown antara Mac hingga Disember 2016.

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

FOTO Hiasan
FOTO Hiasan

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, di mahkamah sama, Mohd Al-Azhim, 28, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan bapanya di tempat dan masa yang sama.

Mohd Al-Azhim didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Subseksyen 23(1) dan Subseksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Azhari kemudiannya membenarkan dua beranak itu diikat jamin RM15,000 masing-masing, dengan seorang penjamin.

Mohd Saidi turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah, manakala Mohd Al-Azhim diarah melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM S. Selvaranjini dan Mohamad Azlan Basri, manakala peguam Muhamad Asri Abdul Hamid mewakili kedua-dua tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 2:26 PM