FOTO hiasan
FOTO hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


PEMBEKAL alat ganti mesin dan jentera dipenjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini apabila mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai polis untuk menukar sampel air kencingnya, bulan lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Chiew Tong Nam, 48, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM1,100 kepada Inspektor Mohd Khairul Ismail Rodzlah Akib yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras sebagai dorongan untuk tidak mengambil sampel air kencing sebaliknya menggunakan air paip untuk dimasukkan ke dalam botol air kencing.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tandas sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin Perkasa, Cheras pada 1.30 pagi, 31 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan kesalahan pertama, selain perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dengan mengambil kira keseriusan kes di mana rasuah memberi kesan buruk berbanding kesalahan lain.

“Wang rasuah tidak boleh dibeli dalam melaksanakan undang-undang, selain mengambil kira faktor kepentingan awam dan memberi amaran dan peringatan kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 11:20 AM