GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang lelaki didenda RM17,500 dan penjara satu hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan pengeluaran lesen memandu pada 2017.

Tertuduh, Mohamad Khairie Marzuki, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sendiri sebagai 'runner' didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebagai dorongan untuk pegawai badan awam di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenalinya bagi mengeluarkan lesen memandu kelas B2 dan D tanpa perlu melalui ujian memandu pada 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini dan Mohammad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaki.

Ketika prosiding kes, hakim menjatuhkan hukuman denda RM17,500 dan penjara satu hari terhadap tertuduh.

Zulhazmi juga menetapkan tambahan hukuman penjara 20 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda itu sebelum dia di hantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal sejurus keputusan itu bagi menjalani hukuman penjara selama satu hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 7:27 PM