DR Ahmad Samsuri (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas program lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Covid-19 ke negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO BERNAMA
DR Ahmad Samsuri (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas program lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Covid-19 ke negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Situasi wabak Covid-19 di Terengganu masih lagi terkawal, meskipun negeri itu mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam di Terengganu bagi membendung penularan pandemik itu.

"Walaupun Terengganu sebelum ini negeri (zon) hijau tetapi aktiviti merentas negeri menjadikan kes bertambah dan Rt atau kadar kebolehjangkitan meningkat tetapi jumlah kes masih terkawal," katanya kepada pemberita selepas menyertai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan Terengganu mencatatkan Rt harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.36 setakat 25 Januari lalu.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Melaka merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.28, diikuti Sarawak (1.25), Putrajaya (1.19), Perak (1.17), Kedah (1.15), Perlis (1.15), Kuala Lumpur (1.12), Labuan (1.11) Pahang (1.1), Selangor (1.1) dan Kelantan (1.09).

Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula merekodkan Rt paling rendah, masing-masing pada 1.04, 1.03, 1.01 dan 1.0, manakala Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.04.

Berdasarkan rekod, sehingga semalam Terengganu mencatatkan 2,142 kes positif Covid-19 termasuk 83 kes baharu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai 48 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dijangkiti Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini proses pembersihan dan sanitasi di kawasan terbabit di hospital itu masih dijalankan.

"Kita juga akan menyokong dan pastikan petugas kita yang dijangkiti Covid-19 akan bersemangat kembali untuk berkhidmat," katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus dalam kenyataan kelmarin dipetik berkata, seramai 48 petugas kesihatan di HSNZ telah dijangkiti Covid-19 dan kesemua mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Siasatan untuk mengenal pasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat kes juga sudah disaring dan diasingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 5:32 PM