Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah kes positif Covid-19 di Terengganu masih lagi terkawal walaupun negeri ini mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes di Terengganu berlaku susulan pergerakan rentas negeri pada Disember tahun lalu sehingga mencatatkan Rt yang tertinggi di Malaysia pada minggu lalu dengan nilai 1.52.

"Terengganu sebelum ini berada pada zon hijau namun apabila ada pergerakan rentas negeri, jumlah kes positif Covid-19 bertambah.

"Walaupun jangkitan meningkat tetapi jumlah kes masih terkawal, jadi kita akan mempertingkatkan aktiviti-aktiviti kesihatan awam di Terengganu dan memantapkan perkhidmatan di hospital bagi mengekang penularan wabak ini.

"Sabtu lalu, seramai 48 kakitangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dijangkiti Covid-19 dan kita sekarang dalam proses pembersihan dan sanitasi di kawasan berkenaan.

"Kita akan memberikan sokongan kepada mereka bagi memastikan petugas-petugas kita kembali bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Mengulas mengenai pelaporan lewat kes Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjadi penyumbang kepada peningkatan mendadak kes ketika ini, Dr Noor Hisham berkata, KKM sedang berusaha untuk memantapkan kemasukan data bagi mengelak berlakunya tunggakan kes.

"Setiap hari, kita terima data dari CPRC di setiap negeri sebelum jam 12 tengah hari dan apabila makmal-makmal swasta ini dapat keputusan, mereka kena masukkan keputusan itu ke dalam sistem maklumat makluman kesihatan awam.

"Kalau ada kelewatan masuk data, kita akan terima data itu lewat dan ini yang kita mahu perbaiki daripada segi bagaimana mahu memantapkan kemasukan data dan berharap menerima laporan kes positif ini secepat mungkin bagi menyelesaikan isu tunggakan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 4:52 PM