GAMBAR fail, Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 12,352 kes atau 98.5 peratus daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan hari ini, adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

Berdasarkan infografik dikongsi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kategori satu adalah tidak bergejala, gejala ringan (kategori dua), radang paru-paru (kategori tiga), radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen (kategori empat) serta kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan (kategori lima).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 6,504 kes atau 51.9 peratus adalah kategori satu iaitu tidak bergejala.

"Sebanyak 5,848 kes atau 46.6 peratus pula adalah pesakit adalah kategori dua iaitu bergejala ringan.

"Bagi kategori tiga yang mempunyai masalah radang paru-paru, sebanyak 86 kes dilaporkan atau 0.7 peratus, manakala 49 kes (0.4 peratus) kategori empat iaitu radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

"Terdapat 54 kes (0.4 peratus) dalam kategori lima yang berada pada tahap kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan atau ventilator," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, sebanyak 12,541 kes baharu dilaporkan, menurun sedikit berbanding semalam yang merekodkan 13,215 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di Malaysia adalah sebanyak 1.20.

Menurutnya, negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi ketika ini adalah Putrajaya iaitu Rt 1.32.

Katanya, negeri lain yang turut mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Terengganu (1.27), Kedah (1.23), Selangor (1.20), Pulau Pinang (1.20), Negeri Sembilan (1.17), Kuala Lumpur (1.15), Melaka (1.14), Pahang (1.12), Johor (1.10), Kelantan (1.10), Perak (1.10) dan Sabah (1.09).

"Dua negeri mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Sarawak (0.9) dan Labuan (0.8) manakala Perlis tidak merekodkan nilai Rt.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 8:52 PM