GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Negara mencatatkan 153 kematian akibat penularan Covid-19, jumlah tertinggi sejak pandemik itu melanda negara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat virus itu bertambah kepada 7,019 kes, atau 0.77 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan 82 kes di Selangor, 17 kes di Kuala Lumpur, 14 di Negeri Sembilan, 10 di Johor, lapan di Kedah, enam di Pahang, lima kes di Melaka, masing-masing dua kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Putrajaya serta masing-masing satu kes di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak, dan Labuan.

Mengenai jumlah kes baharu Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata, daripada 10,698 kes, penularan tempatan membabitkan 8,579 kes dalam kalangan warganegara dan 2,119 kes lagi bukan warganegara, selain 12 kes import.

INFOGRAFIK jangkitan Covid-19 mengikut kategori. SUMBER KKM
INFOGRAFIK jangkitan Covid-19 mengikut kategori. SUMBER KKM

"Daripada jumlah 10,710 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes (0.9 peratus) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 45 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 91 kes (0.9 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 4,162 kes (38.9 peratus) kategori (bergejala ringan) dan 6,317 kes (59.0 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).

"Keseluruhannya, hanya 2.1 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4 dan 5," katanya dalam kenyataannya hari ini

Beliau turut menjelaskan, walaupun peratusan kes kategori 3 hingga 5 tidak tinggi, harus diambil perhatian kes kategori 5 memerlukan purata tempoh jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 21 hari.

"Bagi kes kategori 4 pula memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari manakala kategori 3 memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi.

"Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes ini untuk diberi jagaan di wad dan ICU, justeru mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak.

"Ini secara tidak langsung akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital, dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah," katanya.

Katanya, berdasarkan data terkini pada 17 Julai, nilai kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah 1.18.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu dengan 1.31) diikuti negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.26), Kedah (RT 1.25), Negeri Sembilan (1.19) dan masing-masing 1.18 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Selain itu, masing-masing 1.17 di Selangor, Melaka dan Perak, Sabah (1.15), Kelantan (1.13), Pahang (1.11) dan Johor (1.10).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:12 PM