SIDANG media tangkapan anggota polis bersabit kes pemerasan oleh Nik Ezanee di IPD Petaling Jaya. FOTO Rohanis Shukri
SIDANG media tangkapan anggota polis bersabit kes pemerasan oleh Nik Ezanee di IPD Petaling Jaya. FOTO Rohanis Shukri
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Tindakan dua anggota polis memeras ugut seorang lelaki membayar sejumlah wang bagi mengelak ditahan membeli nombor ekor mengundang padah apabila ditahan polis Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 57 tahun memberitahu ketika ingin pulang ke rumahnya di Cameron Highlands pada 6 petang 21 Disember lalu, dia ditahan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh.

Menurutnya, kemudian dua anggota polis lelaki memeriksa telefon bimbitnya dan ingin menahan kerana membeli nombor ekor.

"Mangsa meminta dilepaskan sebelum suspek mengarahkan dia membayar RM20,000, namun lelaki itu memberitahu hanya mampu memberi RM4,000 sahaja tetapi mereka mahu diberi RM5,000.

"Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah stesen minyak untuk mengeluar wang sebelum dilepaskan.

"Bertindak atas laporan itu, pada 2 petang Khamis lalu, polis menahan suspek pertama berusia 30 tahun di kawasan Sri Hartamas, Kuala Lumpur bersama sebuah kereta MPV polis dan wang tunai RM2,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

"Siasatan seterusnya menahan suspek kedua berusia 38 tahun pada 9 malam di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

"Suspek kedua juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 395 Kanun Keseksaan namun sudah dituduh dan keputusan dia dibebaskan," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan direman tiga hari bermula 25 hingga 27 Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 4:54 PM