Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Kegiatan seorang lelaki tempatan yang bergerak secara solo mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas dia ditahan di Jalan Cheras Hartamas, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pandan Indah membuat rondaan cegah jenayah sebelum terserempak sebuah lori jenis Isuzu Commando dipandu lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Taman Cheras Indah jam 9.30 pagi.

"Ketika anggota polis bertugas mengekori lori berkenaan hingga ke Jalan Cheras Hartamas, lelaki berusia 34 tahun itu bertindak keluar dari kenderaan bagi melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis, namun berjaya ditahan.

"Semakan terhadap lori terbabit mendapati kenderaan berkenaan dilaporkan hilang di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek mengaku terbabit dengan beberapa kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.

"Kami turut merampas empat lagi kenderaan yang diletakkan di tepi jalan sekitar Pandan Indah membabitkan dua van masing-masing jenis Toyota serta Nissan dan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback dilaporkan hilang di Pandan Indah serta sebuah lori jenis Nissan dilaporkan hilang di Kajang.

"Modus operandi suspek adalah bergerak secara solo dan menyasar kenderaan model lama yang diletakkan di tepi jalan sebelum ia dileraikan dan dijual sebagai alat ganti," katanya.

MOHAMAD Farouk (tiga dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang media di IPD Ampang Jaya, hari ini.
MOHAMAD Farouk (tiga dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang media di IPD Ampang Jaya, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan rakan suspek sedang giat dijalankan.

"Suspek terbabit direman selama enam hari bermula 1 hingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan curi kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 5:29 PM