TAN Sri Mohd Yussof mengimbas kembali foto pembukaan dan perasmian pengkalan feri Pulau Pinang yang dihadiri Perdana Menteri Pertama Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TAN Sri Mohd Yussof mengimbas kembali foto pembukaan dan perasmian pengkalan feri Pulau Pinang yang dihadiri Perdana Menteri Pertama Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang boleh mencontohi Melaka yang menjadikan kenderaan pengangkutan air sebagai tarikan dan produk pelancongan di negara ini.

Malah, perkhidmatan menaiki bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC) menyusuri Sungai Melaka menjadi identiti bagi negeri itu dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun luar negara sejak sekian lama.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, langkah itu boleh diikuti Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaras dengan pengumuman kerajaan bagi mengekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Katanya, ia akan membawa pulangan dan pendapatan lumayan terhadap sektor pelancongan negeri sekiranya ditawarkan dengan pakej tertentu yang berpatutan.

"PPSB boleh menawarkan pakej mengelilingi perairan negeri dengan menaiki feri itu dengan bayaran tertentu.

"Harga tiket pula boleh dinaikkan tetapi tidak perlu terlalu mahal bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menaiki pengangkutan air tertua di Malaysia," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan operasi feri Pulau Pinang diteruskan seperti dinyatakan dalam syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang dengan meluluskan RM30 juta kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bagi mengambil alih perkhidmatan itu.

Peruntukan seperti yang diluluskan itu akan dibayar secara dua ansuran tahunan di mana RM15 juta akan dibayar pada 2021 seperti diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, manakala baki RM15 juta akan disediakan kerajaan.

Pada Selasa lalu, Pengerusi SPPP Datuk Tan Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri yang digunakan bagi menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri ini akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari depan.

Feri sedia ada hanya akan diguna sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh berkenaan.

Bagi memastikan nilai sejarah feri Pulau Pinang yang ikonik terpelihara, sebanyak dua feri akan dijadikan muzium terapung dan restoran serta ditempatkan di Pelabuhan Tanjung City Marina, Tanjung Bungah, dekat sini.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi yang meminta perkhidmatan pengangkutan air itu dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 2:42 PM