Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang menunggu penjelasan lanjut berhubung isu perkhidmatan feri ikonik dan warisan di negeri ini daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan memberi masa kepada syarikat berkenaan yang dilaporkan turut 'terkejut' dengan pengumuman pengekalan operasi feri itu, semalam.

Katanya, perkara berkenaan perlu dijawab berikutan pelan penambahbaikan perkhidmatan feri sudah dibentangkan SPPP dan PPSB kepada kerajaan negeri.

"Perancangan yang dibentangkan pengurusan syarikat itu sebelum ini juga tidak sama dengan apa yang diumumkan Kerajaan Pusat, semalam.

"Justeru, kita perlu memberi masa kepada mereka bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan sama ada pelan interim yang dirancang masih berjalan atau tidak," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat dilaporkan berkata, PPSB akan 'disyaratkan' untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri itu buat masa ini.

Kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada PPSB bagi mengendalikan perkhidmatan feri itu, namun pengumuman terbabit menimbulkan persoalan kerana dilihat tidak selari dengan pelan penambahbaikan perkhidmatan feri yang diumumkan SPPP, Selasa lalu.

Mengenai kekeliruan itu, Kon Yeow berkata, pihaknya tidak mengetahui apa yang dibincangkan di peringkat kerajaan pusat, namun kerajaan negeri tetap dengan pendirian supaya perkhidmatan feri ikonik dan warisan berkenaan itu dikekalkan.

Katanya, Pulau Pinang boleh menyumbang lebih baik kepada negara sekiranya mendapat sokongan seperti kelulusan projek dan jaminan pinjaman daripada kerajaan pusat.

"Jika kerajaan pusat menghargai sumbangan kita (Pulau Pinang) kepada pembangunan dana ekonomi kepada negara, maka kerajaan perlu luluskan dana supaya dapat kita teruskan projek itu.

"Kita tidak pernah menafikan bantuan dana tahunan yang diberikan kerajaan pusat menerusi bajet atau rancangan pembangunan, cuma berharap dapat lebih apa yang diberi sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 3:32 PM