PERKHIDMATAN feri ikonik Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
PERKHIDMATAN feri ikonik Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang diteruskan, namun hanya untuk penunggang motosikal dan basikal bermula 1 Januari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, kumpulan itu boleh menggunakan perkhidmatan kenderaan feri ikonik antara Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Terminal Swettenham Pier Cruise di bahagian pulau.

Katanya, bagi penumpang pejalan kaki pula akan menggunakan perkhidmatan feri laju.

"Perkhidmatan feri tidak lagi disediakan untuk kenderaan empat tayar," kata dalam kenyataan di sini, hari ini susulan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya, sebagai tambahan perkhidmatan bas shuttle percuma juga disediakan untuk membawa penumpang dari Terminal Swettenham Pier ke Pangkalan Tun Raja Uda (terminal sebelum ini).

Menurutnya, penggunaan dua kenderaan air itu adalah langkah interim sebelum feri baharu iaitu bas air dan pengangkut kenderaan digunakan pada 1 Julai 2022 atau lebih awal.

Tan berkata, dalam tempoh itu, kedua-dua pangkalan feri akan diubah suai dan naik taraf mengikut kesesuaian pengendalian perkhidmatan baharu kelak.

"Pengguna feri dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti media sosial atau laman sesawang SPPP atau Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi mengikuti perubahan jadual feri disebabkan keperluan untuk menyelaras kerja-kerja pengubahsuaian dengan kelangsungan operasi feri.

"SPPP memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri tidak akan terputus dan sepanjang tempoh interim, tambang feri akan dikekalkan.

"Pada masa sama, bagi mengekalkan nilai-nilai sejarah serta elemen ikonik Pulau Pinang, dua feri sedia ada akan diubah suai sebagai restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan yang akan dapat memperingati sumbangan feri kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 6:18 PM