Foto hiasan
Foto hiasan
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Jadual perkhidmatan feri penumpang dari Butterworth ke pulau akan bertolak 30 minit lebih awal bermula esok selaras dengan pembukaan sesi persekolahan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri pertama yang sebelum ini bertolak pada 7 pagi dijadualkan bertolak pada 6.30 pagi bagi memberi kemudahan kepada mereka murid atau pelajar memulakan sesi persekolahan.

"Trip pertama feri penumpang sebelum ini bertolak pada 7 pagi kerana jumlah penumpang yang tidak ramai berdasarkan statistik jumlah penumpang yang direkodkan berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kini, dengan kerjasama pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) trip perkhidmatan feri diawalkan pada 6.30 pagi bermula esok bagi memberi kemudahan kepada mereka yang akan memulakan sesi persekolahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, jadual perkhidmatan feri penumpang pejalan kaki itu dipinda mengikut keperluan semasa dan juga permintaan orang awam bagi memastikan hanya perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada mereka.

Sementara itu, Teik Cheng berkata, ruang menunggu feri penumpang di tingkat atas Swettenham Pier Cruise (SPCT) dipindahkan ke tingkat bawah bangunan terbabit susulan pembukaan kembali aktiviti kapal persiaran domestik di Malaysia.

Menurutnya, perubahan ruangan menunggu itu dilihat lebih baik oleh kerana penumpang feri tidak perlu mengambil masa untuk ke tingkat atas seperti yang dipraktikkan ketika ini.

"Bagi maksud yang sama, kerja menaik taraf terminal feri di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan juga Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) sedang giat dilaksanakan," katanya.

Teik Cheng berkata, kerajaan Pusat juga bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada PPSB bagi tujuan pembelian feri baharu.

"Saya sudah menyerahkan separuh daripada jumlah RM30 juta itu iaitu RM15 juta kepada pihak PPSB pada 27 Disember lalu dan selebihnya akan diserahkan pada tahun ini.

"SPPP berharap dengan adanya inisiatif untuk menaik taraf terminal-terminal itu dan juga pembelian feri itu kelak akan mewujudkan perkhidmatan yang lebih moden, kondusif dan selesa kepada para penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 5:28 PM