PELEKAT Sokonglah Buatan Malaysia dipasang pada rak jualan bagi menggalakkan rakyat membeli produk buatan Malaysia sempena KBBM. FOTO Asyraf Hamzah.
PELEKAT Sokonglah Buatan Malaysia dipasang pada rak jualan bagi menggalakkan rakyat membeli produk buatan Malaysia sempena KBBM. FOTO Asyraf Hamzah.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Aktiviti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) selain Program Jelajah Francais 2020 diperhebatkan susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri sejak semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu juga sektor perniagaan dibuka semula yang diyakini merancakkan kembali aktiviti ekonomi domestik negara.

Katanya, kementerian kini menggandakan usaha mempromosi KBBM dan PJM yang dilancarkan Julai lalu melalui media massa dan sosial sebagai suntikan semangat kepada usahawan serta pengeluar untuk menghasilkan lebih banyak produk berkualiti pada harga berpatutan.

"KPDNHEP berbangga apabila siri animasi, Upin & Ipin - Barang Baik, Barang Kita (Episod 14) yang diterbitkan khas bagi mempromosikan KBBM dan PJM merekodkan lebih lima juta tontonan sejak disiarkan melalui platform YouTube, minggu lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Alexander berkata, siri animasi itu antara pendekatan inovatif kementeriannya dalam melakukan promosi dan semua pejabat KPDNHEP Negeri akan menggerakkan inisiatif serupa bagi Kempen Kembali Ke Sekolah 2021.

Mengenai kes Tribunal Pengguna Malaysia yang tertangguh, katanya, pelan tindakan telah disusun untuk dilaksanakan selain kementerian mengambil banyak pendekatan yang mempermudahkan proses perniagaan dalam pelbagai sektor.

"Sebagai contoh, peniaga kini dengan mudah boleh memohon untuk menjalankan jualan murah dengan mengisi maklumat yang diperlukan melalui aplikasi MySalesTracker, malah pengguna juga boleh dapatkan maklumat jualan murah di aplikasi tersebut," katanya yang mengharapkan sokongan semua pihak untuk menjayakan program dan mendukung usaha pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis perniagaan terus dilaksana bagi mengelak salah laku selain program bantuan kepada mangsa bencana dan Food Bank untuk mahasiswa institut pengajian tinggi.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Putrajaya dan Labuan bermula Isnin.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 10:53 AM