Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin dapat mencapai sasaran nilai jualan sebanyak RM100 bilion menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang dianjurkan sepanjang tahun ini.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun banyak pusat beli-belah terkesan akibat penularan wabak Covid-19, namun nilai jualan suku keempat bagi sektor peruncitan itu boleh dicapai menerusi pembelian dalam talian.

Beliau berkata, rakyat masih boleh menyumbang kepada ekonomi dan mengambil bahagian di dalam kempen itu dengan membuat pembelian di platform e-dagang.

"Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di pusat beli-belah ketika ini sudah tentu akan menjejaskan kempen tapi kami memikirkan ia perlu diteruskan untuk menjana ekonomi negara.

ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI

"Meskipun kementerian giat mempromosikan KBBM dan PJM serta menggalakkan rakyat keluar berbelanja, tetapi kita juga menyeru mereka kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"KPDNHEP turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada peniaga dan pengguna termasuk membuat kerjasama dengan pelbagai platform e-dagang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jualan Negaraku Selamat dan Aktif Sempena KBBM dan PJM di Al-Ikhsan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Sebanyak 270 premis di pusat beli-belah itu akan mengambil bahagian dalam kempen itu dan mengadakan jualan murah.

Ditanya sama ada tempoh moratorium yang sudah berakhir akan menjejaskan peniaga, Alexander berkata, kempen dilancarkan pihaknya itu antara usaha membantu golongan terbabit.

Katanya, pengguna perlu bijak membuat pembelian dan kempen jualan murah yang dianjurkan KPDNHEP dapat membantu pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 5:23 PM