ROSOL (tengah) ketika melawat usahawan yang menyertai Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat negeri Terengganu di KTCC Mall. FOTO IHSAN KPDNHEP
ROSOL (tengah) ketika melawat usahawan yang menyertai Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat negeri Terengganu di KTCC Mall. FOTO IHSAN KPDNHEP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 78 kes melanggar peraturan jualan murah setakat Ogos lalu membabitkan rampasan bernilai RM44,604.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kesalahan terdiri seperti peniaga meletakkan harga jualan mengelirukan, tidak mempamerkan notis jualan murah dan mengadakan jualan murah tanpa notis dengan nilai kompaun RM23,150.

"Kita harap pengguna peka dengan perkara ini dan sentiasa memeriksa resit selepas bayaran dibuat bagi mengelak ditipu selain membuat aduan kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

KBBM selama empat hari itu bermula 24 September lalu disertai 41 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 32 outlet.

Rosol berkata, pihaknya turut merekodkan 20 kes penipuan jualan murah membabitkan nilai kompaun sebanyak RM15,000 sejak program itu diadakan pada Julai lalu.

"PJM dan KBBM 2020 diadakan secara serentak sepanjang Julai hingga Disember ini bagi memulih dan memperkasakan sektor peruncitan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 5:29 PM