KBBM adalah insiatif kerajaan membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan selain mengukuhkan ekonomi negara. FOTO Arkib NSTP
KBBM adalah insiatif kerajaan membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan selain mengukuhkan ekonomi negara. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun lalu mencatatkan peningkatan ketara sebanyak RM3.3 bilion berbanding 2019.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peningkatan itu juga melebihi 326,000 stock-keeping unit (SKU).

Katanya, peningkatan itu turut dapat dilihat menerusi portal dalam talian 'marketplace' berbanding tahun sebelumnya yang mencatat nilai jualan melebihi RM145 juta.

Menurutnya, pada 2019, KBBM mencatatkan nilai jualan RM2.87 billion membabitkan 279,000 SKU bagi sektor peruncitan dan bagi nilai jualan dalam talian pula adalah RM6.84 juta.

"Peningkatan ketara tahun lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan rakyat Malaysia memilih untuk berbelanja secara dalam talian.

"Ia ditambah dengan promosi berterusan yang dilaksanakan menerusi saluran media cetak, elektronik dan digital bagi mempromosikan produk tempatan.

"Promosi turut diperkukuhkan lagi melalui kerjasama strategik dan kolaborasi khas dengan pihak berkepentingan yang mempunyai pengikut atau pengaruh yang tersendiri melalui iklan, animasi Upin & Ipin dan pelbagai lagi program rentas kerjasama berimpak tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pra Pelancaran KBBM secara maya hari ini.

Katanya, KBBM adalah insiatif kerajaan membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan selain mengukuhkan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Hasnol berkata, KPDNHEP berharap supaya kerjasama sedia ada dan baharu bersama rakan kerjasama strategik dalam pelaksanaan KBBM ini dapat diteruskan.

Katanya, ini bagi memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan secara bersama dan berupaya memulihkan semula sektor peruncitan dan mencapai pertumbuhan yang mampan.

"KPDNHEP yakin barisan hadapan ekonomi seperti pengeluar, pengedar, penyedia perkhidmatan dan peruncit akan dapat bersama kerajaan untuk memastikan usaha ini berjaya.

"Kementerian juga berharap kempen ini mendapat sambutan daripada rakyat kerana setiap perbelanjaan kelak akan dapat membantu memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing pasca Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 2:34 PM