Alexander melakukan lawatan selepas pelancaran Program Jualan Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri 2021 di Jakel, Jalan Munshi Abdullah. FOTO BERNAMA
Alexander melakukan lawatan selepas pelancaran Program Jualan Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri 2021 di Jakel, Jalan Munshi Abdullah. FOTO BERNAMA
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Pematuhan tinggi masyarakat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah Covid-19 bagi sektor peruncitan yang mencapai 94 peratus, perlu dikekalkan dalam tempoh penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya berharap masyarakat terus mematuhi SOP yang sudah ditetapkan dan tidak leka ketika berbelanja pada musim perayaan.

"Berdasarkan tinjauan dan pemantauan yang kita lakukan, ada ketika ia (pematuhan SOP) berada pada kadar lebih tinggi dan sebaliknya, namun secara keseluruhan ia agak membanggakan.

"Saya berharap masyarakat kekal mematuhi SOP dalam musim perayaan nanti dan penguat kuasa KPDNHEP juga akan kerap melakukan tinjauan di bazar Ramadan bagi memastikan pematuhan pada tahap yang baik.

"Kaunter khas akan dibuka mengikut zon di bazar Ramadan terpilih bagi memudahkan pengguna membuat sebarang aduan termasuk mengenai harga jualan barangan atau makanan," katanya selepas merasmikan Program Jualan Malaysia (PJM) 2021 di Jakel Mall di sini, hari ini.

Mengenai PJM, Alexander berkata, program itu yang memasuki edisi kedua tahun ini dijangka dapat melonjak

nilai jualan sektor peruncitan kepada RM120 bilion berbanding, RM100 bilion yang disasar pada suku keempat tahun lalu.

Katanya, peningkatan 20 peratus sasaran itu diyakini dapat dicapai menerusi kerjasama peniaga dan pembeli, yang mana PJM inisiatif kerajaan untuk pengukuhan perbelanjaan domestik dan menggalakkan rakyat membeli produk tempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Untuk rekod, sebanyak RM135.9 bilion dikutip sektor peruncitan, tahun lalu, manakala bilangan perniagaan melaksanakan jualan murah meningkat kepada 326,395 premis.

"Saya berharap PJM tahun ini akan menjadi pemangkin dalam memulihkan sektor peruncitan dan memperkukuh semula permintaan domestik," katanya yang menggalakkan pengguna menggunakan aplikasi MySales Tracker untuk mengetahui kempen jualan murah dan mengelak penipuan.

Tahun ini, PJM memfokuskan segmen perayaan terbesar Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri (April-Mei); Gawai dan Kaamatan (Mei-Jun); Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (Ogos-September); Deepavali (November); Krismas dan Tahun Baru (Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 3:24 PM