PENGERUSI BN Perak Datuk Saarani Mohamad ketika keluar dari Istana selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, hari ini. FOTO Bernama
PENGERUSI BN Perak Datuk Saarani Mohamad ketika keluar dari Istana selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, hari ini. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan campuran mungkin terbentuk di Perak kerana ketika ini tiada parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Ini bermakna peluang terbuka kepada semua parti di negeri itu untuk menjawat jawatan Menteri Besar kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menetapkan ia mestilah terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu.

Penganalisis Politik, Shahbudin Embun berkata, kedudukan kerusi parti-parti di Perak yang sengit akan menyebabkan pembentukan kerajaan campuran menjadi pilihan susulan kemelut politik negeri itu.

Katanya, wujud kemungkinan wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (Pan) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi sokongan kepada Umno.

"Setakat ini yang jelas, semua parti tak ada nombor yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

"Perlu ada sokongan daripada parti lain untuk Umno mempersembahkan cadangan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai calon Menteri Besar yang baru.

"Dengan cara itu, kemelut ini boleh diselesaikan sementara pembubaran parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, Paduka Seri Sultan Perak memperkenan menerima mengadap semua Adun antaranya bagi mendengar sendiri pandangan mereka berhubung usul percaya yang dibawa pada persidangan Dun semalam.

"Sama seperti ketika pensejajaran semula kerajaan persekutuan, semua ahli parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum keputusan mengenainya dibuat," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung situasi yang berlaku di negeri itu.

Ketika persidangan pagi semalam, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

Shahbudin berkata, parti politik di Perak perlu mempunyai 'Gentlemen's Agreement' berhubung sokongan dan siapa yang akan dicadangkan sebagai Menteri Besar yang baharu.

Perak mempunyai 59 Adun yang terdiri daripada 25 daripada Barisan Nasional, Bersatu (lima), Pas (tiga), DAP (16), PKR (tiga), Amanah (lima), Gerakan (satu) dan Bebas (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 5:29 PM