AHMAD (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
AHMAD (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Umno berpendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak mesti dikekalkan kerana usul undi percaya yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hanya membabitkan jawatan Menteri Besar.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul undi percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini tidak mengubah status kerajaan negeri.

"Umno juga berpendirian bahawa Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PAS harus bersama menyokong kerajaan PN Perak," katanya dalam kenyataan, di sini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang, gagal memperoleh sokongan majoriti Adun apabila hanya menerima 10 undi menyokong, manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Usul itu dibawa Adun Pengkalan Baru daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Abd Manap Hashim.

Berikutan itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu, menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah petang ini bagi menyembah maklum situasi semasa politik negeri itu kepada baginda.

Selepas menghadap Sultan Perak, Ahmad Faizal memaklumkan beliau ketika ini masih menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga lantikan baharu dibuat.

Dun Perak merangkumi 25 Adun (BN) yang kesemuanya daripada Umno, 16 (DAP), Bersatu (lima), Amanah (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Berita berkaitan

  • Ahmad Faizal berharap PN Perak tidak berpecah-belah

  • Saarani, Shahrul Zaman, Abdul Aziz disebut-sebut calon MB Perak?

  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti

  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi

  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu

  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'

  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN

  • Ahmad Faizal mengadap Sultan petang ini

  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah

  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 8:39 PM