Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jumlah sumbangan terkumpul bagi mengisi 'kantung' Zoo Negara yang makin kering kini melebihi RM300,000.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, pelbagai pihak menyumbang dana sebaik media melaporkan mengenai beban kewangan zoo makin tenat dan hanya dapat bertahan setakat tiga bulan saja.

"Terima kasih kepada semua pihak terutama orang ramai, bank dan pelbagai agensi yang menyumbang dana kepada kami.

"Sejak kami membuka peluang untuk orang ramai menyumbang, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang persendirian dan sambutan sangat menggalakkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setakat ini ada individu yang menyumbang RM15,000 manakala bank pula RM50,000.

"Daripada sekecil 20 sen sumbangan yang kami terima sehingga RM50,000, kami sangat menghargai usaha semua pihak yang mahu membantu haiwan kami.

"Sebaik selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) saya akan umumkan keseluruhan sumbangan yang diterima," katanya.

ZOO Negara mengalami krisis kewangan yang teruk akibat gelombang ketiga Covid-19. FOTO Eizairi Shamsudin
ZOO Negara mengalami krisis kewangan yang teruk akibat gelombang ketiga Covid-19. FOTO Eizairi Shamsudin

Metro Ahad hari ini melaporkan dana Zoo Negara yang menjadi ikon riadah negara sejak 1963 dikatakan hanya mampu bertahan tiga bulan lagi.

Peruntukan yang semakin tipis itu bukan hanya untuk kelangsungan hidup 140 kakitangan tetapi kos besar bagi mengisi perut kira-kira 4,000 haiwan yang menghuni Zoo Negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:00 PM