PENGUNJUNG melihat haiwan. FOTO HASSAN OMAR
PENGUNJUNG melihat haiwan. FOTO HASSAN OMAR
Oleh Hassan Omar


SELEPAS dua bulan Zoo Melaka di sini, sepi tanpa pengunjung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini suasananya kembali ceria apabila mula menerima pengunjung.

Sebaik kaunter tiket dibuka 8.30 pagi, pengunjung tidak putus berbaris untuk masuk bagi menyaksikan 120 spesis haiwan.

Pengarahnya, Zanariah Khamis berkata, pihaknya gembira dengan kehadiran pengunjung dan berharap momentum ini berterusan.

"Kami harap lebih ramai pengunjung hadir, bukan setakat untuk menyaksikan haiwan, malah membantu memperkukuh dana zoo yang terjejas akibat ketiadaan pengunjung," katanya ditemui.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini, Zoo Melaka menawarkan harga tiket promosi RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, selain mencatatkan suhu badan pengunjung, pengurusan turut mengambil nombor telefon serta menyediakan sesi rehat bermula12 tengah hari hingga 2 petang bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

"Zoo ini memiliki lima harimau belang, seekor harimau belang putih Bengal, lima harimau kumbang dan dua singa yang setiap seekor memerlukan enam kilogram daging sehari sebagai makanan.

"Kami juga perlu menyediakan makanan untuk haiwan lain seperti gajah, seladang dan buaya yang turut membabitkan kos tinggi," katanya.

Menurut beliau, dengan pembukaan zoo, pihaknya yakin mampu memperoleh dana operasi mencukupi untuk membiayai kos makanan 650 haiwan berjumlah RM180,000 sebulan.

Setakat ini, Tabung Sumbangan Zoo Melaka yang dilancarkan pada 4 April lalu mengumpulkan dana RM94,000 dan ia tidak cukup untuk membiayai kos berkenaan sepanjang penutupan zoo.

"Zoo Melaka tidak mempunyai sumber lain kecuali wang dikutip daripada pengunjung.

"Bagi menampung keperluan makanan semasa, zoo terpaksa mendapatkan bantuan bahan makanan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Zon Selatan," katanya.

Selain itu, kos berkenaan turut ditampung pemilik Zoo Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tetapi dengan sumber kewangan terhad.

PENGUNJUNG memberi makanan kepada haiwan di Zoo Melaka, Ayer Keroh.
PENGUNJUNG memberi makanan kepada haiwan di Zoo Melaka, Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 4:27 PM