Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Zoo Taiping disaran untuk menyediakan dana kontingensi selama enam bulan bagi memastikan kelangsungan operasinya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelan perniagaan yang berdaya maju juga wajar dibangunkan dengan mempelbagaikan produk inovatif seperti virtual zoo serta pemasaran produk dan perkhidmatan secara atas talian.

Selain itu katanya, Zoo Taiping boleh menjalankan program haiwan angkat, 'adopt an animal' bagi mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menampung keperluan kewangan yang diperlukan.

Menurutnya, kerajaan turut membantu pengurusan zoo itu menerusi Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM468,890.37 untuk menampung kos makanan dan ubat-ubatan hidupan liar serta kos sanitasi premis secara berperingkat bermula Ogos sehingga November lalu.

"Kementerian juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM1,813,500.00 pada November 2020 untuk membaik pulih fasiliti Zoo Taiping yang kritikal seperti kurungan malam hidupan liar, membina kurungan reptilia dan membaiki bumbung bangunan kaunter tiket.

"Selain itu kita juga memberi diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam enam bulan kepadanya di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0)," katanya menjawab soalan Teh Kok Lim (DAP-Taiping) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

ZOO Taiping. FOTO Arkib NSTP
ZOO Taiping. FOTO Arkib NSTP

Teh meminta penjelasan kementerian mengenai langkah dan usaha yang diambil untuk memastikan Zoo Taiping yang juga ikon Bandar Warisan Taiping terus bertahan ketika tempoh sukar ini.

Menjawab lanjut, Shamsul Anuar berkata, bagi tindakan jangka panjang, kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengadakan sesi konsultasi dengan Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (MAZPA) serta Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) untuk mengkaji semula peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 dan membangunkan Model Baharu ZPT.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan kebergantungan ZPT kepada kerajaan serta mengukuhkan operasi ZPT supaya lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:22 AM