Sebahagian pengunjung terawal meluangkan masa melihat beruang panda apabila Zoo Negara mengumumkan pembukaan semula untuk orang awam pada hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sebahagian pengunjung terawal meluangkan masa melihat beruang panda apabila Zoo Negara mengumumkan pembukaan semula untuk orang awam pada hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Murnaena Muhammad Nasir


Ampang: Zoo Negara dalam proses mengaudit jumlah sumbangan terkumpul yang diterimanya tahun ini secepat mungkin.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, sumbangan individu terkumpul sebanyak RM10 juta tidak termasuk bantuan kewangan syarikat korporat.

"Kami menerima RM10 juta sumbangan terkumpul yang disumbangkan individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac hingga Julai lalu.

"Kami sudah menggunakan sepenuhnya wang sumbangan orang ramai itu sepanjang lima bulan terpaksa menghentikan operasi bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran wafer emas 999 HABIB dengan kolabrasi ekslusif bersama Zoo Negara.

Menurutnya, beliau menggalakkan orang ramai sama-sama membantu menjadi penyelamat haiwan dibawah kempen 'Adopt an Animal' dengan harga serendah RM25.

"Dulu, kami menerima banyak sumbangan individu dan kini semakin banyak syarikat korporat pula memberi bantuan kewangan.

"Saya amat berterima kasih dengan penglibatan semua pihak yang sama-sama prihatin terhadap nasib haiwan di Zoo Negara," katanya.

Rosly berkata, kewangan Zoo Negara kini mencukupi bagi menampung kos operasi selama lima bulan.

"Dana kini mencukupi menampung untuk lima bulan operasi dan sumbangan yang baru diterima daripada pelbagai pihak akan disimpan.

"Diharapkan pembukaan semula Zoo Negara mulai hari ini mendapat sambutan yang baik dari pengunjung sekali gus mengukuhkan kewangan kami dalam mengendalikan operasi," katanya.

Difahamkan Zoo Negara mempunyai lebih 280 spesis haiwan dengan kos operasi yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan.

Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam satu kenyataan meminta pengurusan Zoo Negara melaksanakan audit bebas bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan semua pihak.

Menurutnya, KeTSA mengambil maklum Zoo Negara menjana pendapatan termasuk sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM19.5 juta mulai Januari sehingga September lalu.

Mengikut rekod, setakat ini perbelanjaan hanya sebanyak RM9.4 juta dan pihaknya yakin Zoo Negara masih berupaya untuk meneruskan kelangsungan operasi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 5:05 PM